Hostgator

Hostgator
Click on the image for more info

Wednesday, February 26, 2014

Selepas ‘kaum’, mereka mahu hak Melayu dihapuskan, kata pengarang Utusan The Malaysian Insider


Cadangan menteri Kabinet untuk mengeluarkan perkataan "kaum" dalam borang rasmi adalah untuk meyakinkan Melayu agar menyerahkan kembali hak-hak keistimewaan lain mereka, kata salah seorang pengarang Utusan Malaysia hari ini.
Penolong Ketua Pengarang 1 Utusan Malaysia, Datuk Zaini Hassan berkata, cadangan itu tidak mustahil diterima kerajaan merujuk kepada cadangan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang diperjuangkan oleh badan bukan kerajaan (NGO).
“Jika semua Melayu bersetuju, selepas ini tiada lagi tanda bangsa  atau ras dalam mana-mana borang rasmi di negara ini. Puncanya kerana sekarang ini mahu sebut Melayu pun orang sudah takut dan fobia. Maka, perkataan itu perlu dipadam.
“Cadangan itu disokong sendiri oleh seorang menteri Kabinet hasil desakan badan-badan hak asasi manusia. Jika dulu ada NGO yang diwujudkan untuk memansuhkan ISA, tidak mustahil cadangan di atas pun akan diterima,” katanya dalam satu rencana yang diterbitkan hari ini.
Zaini berkata, pada hari ini sudah kedengaran suara yang berani mempersoalkan asal-usul orang Melayu dan mendakwa mereka kaum pendatang.
Katanya, kebanyakan orang Melayu hari ini malu untuk mengaku bangsa sendiri, membaca akhbar Utusan Malaysia dan belajar di sekolah kebangsaan.
“Mereka dakwa Melayu pun kaum pendatang, mereka pun pendatang. Maka semua sama sahaja. Melayu sekarang ini rata-rata hendak cakap Melayu pun sudah malu. Hendak baca dan kepit surat khabar Utusan Melayu pun malu.
“Jika semua orang Melayu Islam bersetuju, maka Malaysia selepas ini akan dikenali sebagai negara paling liberal di muka bumi ini. Tak apalah, lagipun orang Melayu di negara inilah yang sering dituduh paling rasis, paling perkauman,” katanya.
Zaini kemudiannya melontarkan sindiran mendakwa Melayu adalah kaum yang paling dibenci sehingga menguasai jawatan penting dalam syarikat milik bukan Melayu di negara ini.
Katanya, jika orang Melayu masih menjadi kaum yang meminta-minta untuk hidup, adakah kaum lain bersedia menerima kesemua tuntutan tersebut.
“Orang Melayu amat dibenci di negara ini. Adakah kerana orang Melayu menguasai semua gedung perniagaan di negara ini? Adakah orang Melayu menguasai rantaian pengedaran barangan (supply chain) di negara ini?
“Secara peribadi, saya cukup bimbang dengan perkembangan ini atau mungkin orang Melayu sudah tidak peduli lagi, kerana bimbang akan dicap sebagai rasis?” katanya.
Kurup ketika merasmikan dialog pertama Majlis Konsultatif Perpaduan Nasional (MKPN) yang pertama berkata, sudah sampai masanya perkataan kaum dibuang daripada semua borang rasmi di negara ini bagi membentuk satu identiti nasional.
Katanya, rakyat Malaysia masih dipisahkan oleh bangsa dan agama selepas lebih 50 tahun mengecapi kemerdekaan.
Beliau berkata, bila lagi rakyat Malaysia mahu melihat diri mereka sebagai orang Malaysia, bukan atas nama bangsa.
Timbalan Presiden MIC Datuk Seri Dr S Subramaniam menyokong cadangan Kurup mendakwa ia perlu untuk membentuk satu identiti nasional, mempertingkat semangat patriotisme dan cinta akan negara serta mampu menyatupadukan rakyat di negara ini.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta Kurup menyuarakan cadangannya itu kepada jemaah menteri.
Katanya, semua keputusan berkaitan dasar kerajaaan atau undang-undang perlu dibincangkan bersama jemaah menteri sebelum sebarang keputusan diambil.
Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) sebaliknya menyelar Kurup dengan mendakwa cadangan tersebut satu cubaan menghapuskan hak kaum Melayu yang diperuntukkan dalam Perlembagaan.
Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali, berkata cadangan yang dilontarkan itu melampau dan mempunyai niat jahat terhadap bangsa Melayu.
Katanya, cadangan tersebut bertujuan menggugat hak keistimewaan kaum Melayu khususnya dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
Ibrahim memberi amaran supaya Putrajaya tidak tunduk kepada cadangan tersebut jika tidak mahu hilang sokongan masyarakat Melayu, khususnya bagi Umno. – 26 Februari, 2014.

No comments:

Post a Comment