Hostgator

Hostgator
Click on the image for more info

Sunday, March 22, 2015

Pembohongan berterusan boleh cetus anarki politik

Oleh M Periasamy  AHAD, 22 MAC 2015 @ 7:58 AM
Kita dihujani istilah 'konspirasi politik' dan 'tahanan politik' sejak ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, disabitkan kesalahan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan serta dihukum penjara lima tahun. Anwar menimbulkan tanggapan bahawa beliau adalah tahanan politik atas komplot kerajaan.
Mereka yang termakan dengan dakwaan ini menyertai demonstrasi mendesak kerajaan membebaskan beliau. Ini disusuli tindakan anaknya, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) merangkap Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah bahawa Anwar adalah tahanan politik.
Sebelum istilah tahanan politik ditimbulkan, Anwar dan penyokongnya sering mendakwa bahawa Anwar adalah mangsa 'konspirasi politik' kerajaan Barisan Nasional (BN). Malah, ada pihak melancarkan kempen di media sosial untuk memungut 100,000 tandatangan agar satu petisyen disediakan bagi memohon Amerika Syarikat (AS) 'campur tangan dan mendesak kerajaan Malaysia membebaskan Anwar' sebagai satu dasar luar utama AS.
Bukan 'tahanan politik'
Persoalan kepada mereka ialah rasionalnya mengundang AS campur tangan dalam urusan hal ehwal Malaysia selaku negara berdaulat. Kerajaan Malaysia pernah menahan individu tanpa mengira kecenderungan atau fahaman politik di bawah undang-undang Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA yang telah dimansuhkan. Lebih 100 pemimpin politik, badan pendidikan dan sosial termasuk pemimpin pembangkang atau kerajaan, ditahan sejak tahun 1960. Namun, mereka bukan 'tahanan politik' kerana tidak atas motif politik pemerintah seperti berlaku di negara luar.
Sebagai contoh, Mahatma Gandhi menjadi tahanan politik kerana British menuduh beliau membangkitkan semangat anti penjajah dalam kalangan rakyat India. Pemimpin Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD) Myanmar, Aung San Suu Kyi, menjadi tahanan politik lebih 20 tahun (1990-2010) kerana membangkitkan semangat rakyat Burma bangkit mengganti kerajaan tentera atas nama demokrasi. Nelson Mandela dibicarakan dan dihukum penjara seumur hidup atas tuduhan melancarkan serangan bersenjata terhadap pemerintah kulit putih Afrika Selatan, juga kerana membangkitkan semangat rakyat kulit hitam menentang kerajaan minoriti kulit putih.
Ia tidak begitu di Malaysia. Umumnya, tahanan politik tidak dibawa ke mahkamah untuk menghadapi perbicaraan terbuka atau tidak diberi peluang membela diri tetapi Anwar diberi peluang menghadapi pembicaraan di mahkamah secara terbuka dan bebas berhujah mempertahankan diri bagi membuktikan beliau tidak bersalah. Anwar diberi masa yang cukup panjang, hampir enam tahun, untuk mempertahankan diri daripada tuduhan meliwat. Anwar juga menggunakan peguam bela yang pakar dalam perundangan seperti mendiang Karpal Singh dan kemudian Gopal Sri Ram. Ini menunjukkan hukuman penjara Anwar adalah atas sabitan kesalahan jenayah yang dibuktikan.
Dakwa konspirasi politik
Apa pula dimaksudkan dengan konspirasi politik? Konspirasi politik adalah ditakrifkan sebagai plot yang dirancang satu kumpulan atau pakatan sulit antara individu atau kumpulan berkepentingan bersama untuk merampas kuasa, menjatuhkan orang yang berkuasa atau menjatuhkan kerajaan dengan cara tidak sah.
Anwar mendakwa sabitan kesalahan meliwat pembantunya sebagai konspirasi politik dan menjadi mangsa rancangan sulit pemerintah yang bersekongkol dengan institusi kehakiman. Namun, institusi kehakiman Malaysia bertindak secara bebas, adil dan terbuka tanpa sebarang pengaruh luar atau mana-mana badan kerajaan lain seperti badan eksekutif (pemimpin kerajaan) atau legislatif (parlimen).
Sejarah badan kehakiman Malaysia menunjukkan mahkamah pernah memihak kepada pemimpin dan parti pembangkang berdasarkan fakta dan bukti yang dikemukakan. Menteri kabinet, menteri besar, menteri, ketua jabatan, pegawai kerajaan berpangkat tinggi, malah pemimpin politik parti pemerintah juga pernah ditahan, dibicara dan dihukum penjara setimpal dengan kesalahan yang disabitkan.
Jadi, ini jelas menunjukkan mahkamah buat keputusan secara bebas dan adil berdasarkan fakta dan bukti tanpa mengira kefahaman dan kecenderungan politik. Jelas, unsur konspirasi politik tidak timbul. Dakwaan Anwar adalah tahanan politik akibat satu konspirasi politik membayangkan teori Big Lie yang diutarakan oleh Goebbels, pakar propaganda Adolf Hitler pada era Perang Dunia Kedua. Menurut teori 'Big Lie', rakyat akan percaya satu pembohongan sekiranya ia dilakukan secara berulang kali.
Rakyat perlu sedar bahawa negara kita akan dilanda anarki politik tidak berkesudahan sekiranya percaya kepada pembohongan sebagai kebenaran kerana diulangi berulang kali. Teknik itu digunakan sebelum ini kerana terbukti boleh mempengaruhi pemikiran walaupun tidak benar.
Penulis ialah Panel Pemikir JASA

No comments:

Post a Comment